SELASA, 29 MAC 2022
LIMBANG: RISDA memainkan peranan penting dan bertanggungjawab melaksanakan pembaharuan kepada masyarakat pekebun kecil di negara ini.
Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini untuk memastikan segala maklumat dan ilmu pengetahuan dikongsi dan disebarkan kepada kumpulan sasar dengan tepat dan cepat.
“RISDA dan pekebun kecil mempunyai peranan yang saling berhubungan terutama dari segi ekonomi, keusahawanan dan sosial agar dapat digembleng bagi memastikan kelestarian pekebun kecil dalam industri getah negara kekal mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam penutupan program Hari Terbuka Keluarga RISDA Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Rumah Intai, Kampung Menuang, Limbang pada Sabtu.
Mengulas penganjuran program ini, Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang memberitahu program ini sebagai satu bentuk sistem penyampaian berkesan kepada masyarakat pekebun kecil.
Program ini juga memberi manfaat kepada pekebun kecil dan Ahli Isi Rumah (AIR) melihat potensi di dalam bidang pertanian, keusahawanan, teknologi, pendidikan dan bidang lain yang berkaitan serta berkongsi idea, pengalaman serta teknologi terkini yang berkaitan agar dapat digunakan dalam kehidupan pekebun kecil.
Hadir sama Pemangku Timbalan Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Pengarah RISDA Negeri Sarawak Shaharuddin Saberi, Temenggong Willie Merum Liaw dan uai Rumah Intai Kampung Menuang Intai Ganing.-EDISI UKAS