SABERKAS Bakal Menubuhkan 82 Cawangan Di Setiap Kawasan DUN

ISNIN, 28 MAC 2022

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bakal menubuhkan 82 cawangan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Menurut Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah merangkap Presiden SABERKAS berkata, setakat ini hanya terdapat 78 kawasan DUN di negeri ini telah menubuhkan cawangan SABERKAS yang meliputi kawasan bandar dan juga kawasan pesisir.

“Untuk makluman semua, pada masa ini hasrat kita adalah untuk menubuhkan 82 cawangan mengikut kawasan DUN di negeri Sarawak, dan setakat ini telah mencapai 78 buah cawangan khusus untuk menjalankan aktiviti-aktiviti, seperti program bubur lambuk, SABERKAS Prihatin dan juga program Karnival Sukan yang disalurkan pada setiap cawangan dengan peruntukan sebanyak RM10,000.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi dan merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Negeri Sarawak Ke-54 bertempat di Pullman Hotel Kuching pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, SABERKAS juga telah bersetuju untuk menambah jumlah peruntukan berjumlah RM21,000 bagi setiap cawangan bertujuan untuk pentadbiran dan menjalankan aktiviti tahunan.

Pada mesyuarat tersebut turut dilancarkan Laman Web Saberkas yang disaksikan oleh Timbalan Presiden Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Naib Presiden Saberkas, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Abdul Rauf, Setiausaha Agung Saberkas Safiee Ahmad, Naib Presiden Lukanisman Awang Sauni, Dato Gerald Rentap Jabu dan Dennis Ngau.- EDISI UKAS

add comment