SELASA, 29 MAC 2022
SARIKEI: Taman Agro Sungai Baji Sarikei berpotensi menjadi hub utama pengeluaran makanan.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom memberitahu, antara objektif utamanya termasuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan menjelang 2030 di samping meningkatkan ekonomi dan pendapatan para petani melalui pertanian moden.
“Projek Taman Agro yang berkeluasan 127 hektar ini turut mampu membantu golongan petani dalam kemajuan teknologi melalui sesi perkongsian bersama sektor swasta,” katanya pada lawatan kerja ke tapak projek tersebut di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, pertanian moden yang diperkenalkan di lokasi tersebut dapat menarik golongan muda untuk menceburi bidang pertanian, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menghasilkan pendapatan lumayan.
“Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah rumah hijau (Greenhouse), inkubator dan terminal pemasaran pertanian, pusat latihan pertanian dan juga kemudahan asas lain seperti bekalan air, elektrik, dan telekomunikasi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menegaskan, Taman Agro tersebut turut berpotensi dijadikan sebagai satu pusat latihan pertanian moden dan juga sebagai lokasi tumpuan bagi Agro Pelancongan.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Pembangunan Wilayah), Maclaine Ben @ Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Edwin Abit, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, dan Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat. -Edisi UKAS