SELASA, 29 MAC 2022
MIRI: Golongan usahawan di negeri ini perlu proaktif dalam membuat inovasi ke atas strategi pemasaran serta kualiti produk yang ditawarkan selari dengan trend perniagaan digital masa ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Dr. Ripin Lamat berkata, perkara ini penting untuk meningkatkan minat terhadap produk mereka, sekaligus meningkatkan pendapatan yang diperoleh.
“Inovasi boleh dilakukan dari segi pembungkusan, pelabelan ataupun peningkatan kualiti produk itu sendiri agar ianya dapat dijual ke pasaran luar.
“Dari segi pemasaran pula, aplikasikan kaedah terkini seperti penggunaan teknologi digital untuk memperluas capaian pelanggan yang berpotensi membeli produk tersebut,’’ jelasnya semasa berucap pada Program Penutupan Micro Connector 2021 dan Pembukaan Program Bakepreneur Champion 2022 di Meritz Hotel di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir menggalakkan usahawan agar memupuk kemahuan untuk mengembangkan perniagaan yang diceburi walaupun ia dimulakan secara kecil-kecilan.
“Pada peringkat permulaan, semestinya seseorang usahawan menghadapi kesukaran untuk mencapai piawaian yang memuaskan, namun, peluang perlu diambil untuk mempelajari kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh mereka yang mencapai kejayaan dalam perniagaan serupa,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga mengalu-alukan kolaborasi antara agensi kerajaan dengan usahawan yang telah berjaya untuk mengadakan sesi jaringan berkongsi ilmu, pengalaman dan teknologi terkini bagi membantu usahawan baharu terutamanya mereka dalam golongan B40 dan belia.
“Program sebegini mampu dijadikan sebagai satu nilai tambah kepada perniagaan yang diceburi,’’ ujarnya. -Edisi UKAS