RABU, 30 MAC 2022
MUKAH: Seramai 193 orang penjawat awam negeri dan persekutuan menerima pingat perkhidmatan setia sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh mencurahkan bakti bersama perkhidmatan awam.
Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Mukah itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hotel Kingwood Resort di sini pada Rabu.
Majlis kali ini telah melibatkan penerima dari 10 buah jabatan serta agensi kerajaan yang merangkumi enam daripada Kerajaan Negeri serta empat dari Kerajaan Persekutuan.
Ianya merupakan kesinambungan kepada sesi pertama yang telah diadakan di bahagian Bintulu pada Februari lepas.
Antara penerima pada kali ini ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman @ Hussaini yang telah berkhidmat selama 33 tahun.
Selain itu, Pegawai Daerah Dalat, Kueh Lei Poh (berkhidmat selama 33 tahun), dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah (berkhidmat selama 28 tahun) turut diberi pingat sebagai tanda penghargaan.
Manakala, 21 daripada jumlah penerima telah berkhidmat dengan penuh taat setia dan dedikasi melebihi tempoh 35 tahun.
Mereka ialah Radwan @ Riduan Narawi (Pejabat Residen dan Daerah Bahagian Mukah), Mohammad Hasbullah bin Abdullah (Jabatan Pertanian Sarawak), Mohd Basra Sarbani, Abas Jahari, dan Shafiee Sahari dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Abu Bakar Hamdan (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak), Sarjan Lee Ahoi dan Sarjan Abdullah Sepawi dari Polis Diraja Malaysia, Badariah Budin, Ahmad Besungo, dan Hashim Wat dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, serta Marttia @ Morni Lemak, Mohd Zain Ibrahim, Cikgu Helen Sares, Norsiah Lias, Cikgu Kanil Ali Hassan, Cikgu Saadiah Hossain, Cikgu Lias Daud, Cikgu Sidek Kusang, Cikgu Kahar @ Abdul Kahar Abu Samah, dan Cikgu Jaleha Maseri dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Untuk makluman, pingat perkhidmatan setia ini dianugerahkan kepada penjawat awam bertaraf tetap yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam di Sarawak selama 20 tahun secara berterusan ataupun 25 tahun perkhidmatan terkumpul.
Mereka juga perlu menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang dan memuaskan serta disokong oleh ketua jabatan, selain tiada rekod pelanggaran tatatertib dan juga bebas daripada siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Mancha Ata, dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel. -Edisi UKAS