43 Projek Infrastruktur Berimpak Tinggi Sedang Dilaksanakan URDA

RABU, 30 MAC 2022

SIBU: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) sedang melaksanakan 43 projek infrastruktur berimpak tinggi termasuk kemudahan, pelan induk dan bangunan berjumlah RM1.5 bilion di kawasan wilayah tersebut.

Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek-projek ini akan membuka jalan kepada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam kawasan URDA dalam semua sektor ekonomi.

Katanya, ia juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar dengan menambah baik kesalinghubungan bagi membolehkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan yang cekap, seterusnya mengurangkan kos menjalankan perniagaan di kawasan URDA.

“Penyediaan infrastruktur asas terutamanya jalan raya dan jambatan telah menjadi keutamaan di wilayah ini, selaras dengan dasar Kerajaan Sarawak untuk menambah baik perhubungan jalan raya di kawasan luar bandar termasuk pedalaman Sarawak.

“Jalan raya dan pembangunan infrastruktur yang berkaitan telah menjadi pemboleh utama pertumbuhan sosio-ekonomi di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Untuk tujuan ini, pada masa ini terdapat 43 projek infrastruktur termasuk kemudahan, pelan induk dan bangunan di Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) berjumlah RM1.5 bilion yang mempunyai impak tinggi,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Penutupan Bengkel URDA bertempat di Hotel Kingwood, Sibu pada Rabu.

Tambahnya, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA) telah mencipta pelan induk khusus untuk membangunkan Kapit, Bakun dan Belaga di bawah URDA untuk merangsang potensi pertumbuhan dan menarik lebih banyak pelaburan.

Jelasnya, Pelan Induk Kapit yang melibatkan pembaharuan bandar dan pembesaran perbandaran baharu akan memanfaatkan kedekatan Kapit dengan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan dan pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur.

Selain itu katanya, Pelan Induk Bakun memberi tumpuan kepada menarik pelabur dengan cadangan perbandaran dan pulau peranginan di tepi tasik yang bermatlamat membangunkan tasik Bakun yang sebesar Singapura menjadi seperti Tasik Como di Itali.

“Sementara itu, Pelan Induk Belaga memberi tumpuan kepada pengembangan bandar dan pembaharuan bandar yang mengambil kesempatan daripada kawasan dermaga yang baru siap.

“Dengan semua Pelan Induk ini selaras, ia bukan sahaja akan meningkatkan nilai ekonomi perbandaran, tetapi juga akan membawa kemakmuran kepada aspek pembangunan sosialnya.

“Komuniti tempatan akan mendapat pendedahan yang lebih luas dan pengalaman berharga seiring dengan pertumbuhan perbandaran,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai bengkel tersebut, beliau percaya makmal sosio-ekonomi itu telah sangat membuahkan hasil dalam mengenal pasti keperluan dan jangkaan masyarakat setempat dan mewujudkan pelbagai program dan projek yang berharga, mekanisme dan model perniagaan yang sesuai untuk penyediaan pelan pembangunan sosio-ekonomi yang komprehensif untuk URDA.

“Saya juga berharap penemuan makmal ini akan membantu RECODA dan URDA mengenal pasti pelabur berpotensi untuk melabur dalam projek yang berdaya maju dan mampan,” ujar beliau lagi.

Bengkel anjuran URDA dari 28 hingga 30 Mac 2022 itu melibatkan semua wakil rakyat di wilayah tengah Sarawak, wakil-wakil Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Ketua-Ketua Masyarakat dan wakil ahli perniagaan tempatan.

Antara yang turut serta ialah Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, ADUN Belaga Datuk Liwang Lagang, ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Ngemah Anyi Jana, ADUN Machan Allan Siden Geramong, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ADUN Katibas Lidam Assan, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Haji Ismawi Ismuni dan Pengarah URDA Joseph Belayong Punan.

Pada sebelah petang, Dato Sri Alexander kesempatan melawat Pejabat Metrology Corp M Sdn Bhd yang melakukan timbang sukat bersama pegawai dari KPDNKKHEP, Cawangan Sibu untuk mengetahui cara mereka beroperasi.

Dalam lawatan itu, beliau berpas hati dengan taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Wilayah Metrology Corp M Sdn Bhd, Mohamed Sabri Md Salleh sambil meninjau alat-alat yang digunakan di situ.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam membuat urusniaga yang beretika dan tidak mempunyai banyak aduan daripada pengguna atau peniaga terhadap timbang dan sukat itu. – EDISI UKAS

add comment