Hot Shots Muncul Juara Bola Jaring MSL Peringkat Bahagian Limbang 2022

RABU, 30 MAC 2022

LIMBANG: Pasukan Hot Shots muncul juara dalam Pertandingan Bola Jaring Sempena Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Bahagian Limbang 2022 yang diadakan di Gelanggang RPR Taman Batu Biah, Limbang pada Sabtu lepas. 

Kejayaan itu membolehkan pasukan yang dibarisi 11 pemain itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta medal, manakala naib johan dimenang pasukan New Born yang membawa pulang wang tunai RM700 dan tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang pasukan Mixx dan Vale yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300. 

Sebanyak 10 pasukan telah menyertai pertandingan ini yang diadakan sehari. 

Susulan itu, pasukan Hot Shots akan mewakili Bahagian Limbang di peringkat negeri yang dijangka akan diadakan pada Julai 2022. 

Selain bola jaring, turut diadakan sepak takraw, futsal, bola keranjang “3 on 3”  dan badminton.

Hadiah telah disampaikan Pegawai Belia dan Sukan Limbang Yaman Yahya dan Ketua Imigresen Limbang Kalthom Ahmad.-EDISI UKAS

add comment