RABU, 30 MAC 2022
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan membina laluan baharu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, ia merangkumi jalan dari Jambatan Batang Samarahan menuju ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) seterusnya menuju ke Tanjong Bako.
Selain itu jelasnya, terdapat juga perancangan untuk jangka panjang melibatkan sebuah jambatan baru yang sedang dibina menuju ke Sejingkat yang mana dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu kemuncak.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan Sesi 2022-2025 di Dewan Suarah Kota Samarahan, baru-baru ini.
Menerusi mesyuarat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim dilantik sebagai Ketua Cawangan PBB Stakan menggantikan penyandang sebelumnya Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud, setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang lepas.
Selain itu, Timbalan Ketua PBB Cawangan Stakan, Tuah Jini serta ahli jawatankuasa yang lain dikekalkan jawatan.
Turut menang dalam mesyuarat sama, semua ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Stakan yang diketuai oleh Mohd Amizan Karim serta ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita PBB yang diketuai oleh Lela Adini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Ketua Wanita PBB 1 Sarawak, Datin Angelina Ujang. -EDISI UKAS