RABU, 30 MAC 2022
KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Murud Plaman tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan menerusi projek-projek pembangunan infrastruktur yang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Cawangan Sarawak bersama Pejabat Ahli Parlimen Kota Samarahan dan Pejabat Daerah Serian meninjau projek-projek pembangunan yang telah siap dan sedang dalam pelaksanaan pada Rabu.
Projek siap tersebut ialah projek menaik taraf gelanggang futsal yang telah siap sepenuhnya pada tahun lepas dan dibina di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Selain itu, tinjauan ke atas projek menaik taraf jalan dalam kampung turut dilaksanakan dan dibiayai di bawah projek perhubungan desa KPLB.
Turut hadir semasa lawatan ialah Ketua Kaum Kampung Murud Plaman, Marcos Nyandang dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Murud Plaman.-EDISI UKAS