RABU, 30 MAC 2022
KUCHING: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 bagi sesi kedua dijadualkan berlangsung mulai 5 April hingga 19 Mei depan.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Abg Hut Engkeh berkata, peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu melibatkan calon positif COVID-19, calon yang diarahkan kuarantin, calon yang terkesan banjir dan calon yang mendapat kebenaran khas Pengarah Peperiksaan.
Menurutnya, ia merupakan ketetapan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada calon-calon yang dibenarkan menduduki peperiksan SPM 2021 bagi sesi kedua.
“Justeru, saya memohon calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April nanti.
“Semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store,” katanya semasa berucap dalam majlis kesyukuran pengurusan peperiksaan SPM 2021 bagi peringkat Sarawak di Dewan Integrasi Sekolah Menengah (SM) Teknik Sejingkat pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri BPLTV, Kementerian Pendidikan Malaysia, Norhayati Abdul Wahab, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jambai Sayong dan Pengetua Sekolah Menengah (SM) Teknik Sejingkat, Mohd Syariff Mohd Saad.
Majlis tersebut diadakan selaras di seluruh Malaysia bagi menghargai para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini di mana peperiksaan tersebut telah bermula pada 8 Februari hingga 29 Mac lepas.
Sementara itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan pengajar yang telah menggunakan pelbagai insiatif atau strategi pembelajaran bagi mendidik para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
Menurut beliau, peperiksaan SPM 2021 telah berlangsung bermula Februari lepas melibatkan ujian bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, ujian amali Sains, dan ujian bertulis di mana seramai 36,385 calon mendaftar di 257 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.
“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menetapkan bahawa hanya calon positif COVID-19, calon yang diarahkan kuarantin, calon yang terkesan banjir dan calon yang mendapat kebenaran khas Pengarah Peperiksaan sahaja yang dibenarkan menduduki peperiksan SPM 2021 sesi kedua yang diadakan pada 5 April hingga 19 Mei nanti,” katanya. -EDISI UKAS