Perkhidmatan Bekalan Air Di Sarawak Teratur Apabila Program Grid Air Negeri Dan SAWAS Siap

RABU, 30 MAC 2022

MIRI: Apabila Program Grid Air Negeri dan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) ini siap ianya akan mempunyai bekalan air yang teratur dan menyelesaikan masalah bekalan air pada masa akan datang.

Perkara ini dinyatakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi semasa berucap dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival Sukan LAKU 2022 Kali Ke-10 di Miri pada Ahad.

Katanya, ini hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama penuh daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan agensi pelaksana di bawahnya seperti LAKU Management Sdn Bhd, Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan Pengurusan dan kakitangan LAKU, dan agensi-agensi air lain di atas kerjasama dan dedikasi kepada Kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat ini,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Datuk Julaihi menggesa LAKU perlu sentiasa bersedia dalam peningkatan penggunaan air dan memastikan kualiti dan kecekapan perkhidmatannya. 

Jelasnya, permintaan air di wilayah utara Sarawak adalah seiring dengan pembangunan di kawasan ini, mislanya Kidurong Bintulu kekal sebagai pengguna terbesar LAKU dengan penggunaan semasa sekurang-kurangnya 46 mld.

Kemunculan industri besar seperti Loji Metanol Petchem dan Shell Rosmari dan Loji Gas Marjoram On-Shore akan meningkatkan kapasiti penggunaan air dengan anggaran penggunaan air masing-masing adalah 19 mld dan 5 mld.

“Saya gembira mengetahui bahawa LAKU sedang dalam proses mendigitalkan operasi utama anda dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai. 

“Saya percaya LAKU berada di arah yang betul untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja semasa untuk melengkapkan mereka dengan kecekapan yang diperlukan untuk memadankan permintaan dan perkhidmatan yang meningkat,” ujarnya. 

Sementara itu, LAKU Management Sdn Bhd (Bintulu) muncul johan keseluruhan dalam Karnival Sukan LAKU yang telah diadakan bermula 25 hingga 27 Mac 2022 di Miri.

Karnival Sukan LAKU turut disertai staf dari Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak, LAKU Management Sdn Bhd (Miri, Bintulu dan Limbang), JBALB, Lembaga Air Kuching dan penganjuran Karnival Sukan LAKU Ke-11 akan diadakan di Bahagian Bintulu pada masa akan datang. 

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Pengerusi LAKU Management Sdn Bhd Datuk Nelson Balang Rining, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengurus Besar Lembaga Air Sibu Abdul Malik Abdullah @ Atin Langit, Ketua Pegawai Eksekutif LAKU MAnagement Sdn Bhd Daneil Punang, Pengarah JBALAB Ir Chang Kuet Shian dan Pemangku Pengarah Bekalan Air Kueh Li Li.-EDISI UKAS

add comment