PPWS Bintulu/Tatau Santuni 80 Keluarga Asnaf Menjelang Ramadan

RABU, 30 MAC 2022

BINTULU: Keprihatinan Persekutuan PerKumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Bintulu/Tatau menyantuni golongan asnaf menjelang bulan Ramadan menerusi Sumbangan Amal Ramadan Tahun 2022 mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip. 

Katanya pada Ahad, usaha ini sangat dihargai memandangkan ramai di kalangan asnaf yang harus dibantu dan sumbangan ini akan lebih bermakna bagi meringankan beban mereka pada bulan Ramadan nanti. 

Sementara itu, Pengerusi PPWS Bintulu/Tatau Rasiah Dahlan dalam ucapan aluannya menyatakan ucapan terima kasih di atas sumbangan ahli-ahli PPWS, rakan taulan dan ahli keluarga yang menyumbang wang dan barangan dapur untuk diberikan kepada golongan asnaf. 

Seramai 80 keluarga asnaf yang terdiri daripada 10 perkumpulan iaitu Penan Muslim Batu 10, PerKumpulan Melati-Kampung Jepak, Perkumpulan Labang, Perkumpulan Segan, Perkumpulan Orchid (Kampung Masjid, Sebiew, Dato,  Jabai), Perkumpulan  Desa (Kampung Assyakirin), Perkumpulan Kasurina (RPR Sebiew), Perkumpulan Bunga Raya (RPR Sibiew, Kpg Baru), Perkumpulan Cempaka (Kampung Baru) dan Perkumpulan Tatau. 

Mereka menerima sumbangan berupa 10 kilogram beras dan barangan asas serta wang tunai RM50 setiap seorang.

Dalam pada itu, Rasiah turut memaklumkan PPWS Bintulu/Tatau akan mengadakan Program Bubur Lambuk pada 9 April nanti yang akan diagihkan kepada 10 buah masjid dan surau di sekitar Bintulu. 

Hadir sama Pengelola Kawasan Bahagian Miri dan Bintulu Sofiani Usop.-EDISI UKAS

add comment