RABU, 30 MAC 2022
SARIKEI : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong telah hadir dalam Program Fun Day 2022 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Sarikei dan Majlis Meraikan Persaraan Donald @ Duna Latit di Suka Hati Steamboat Sarikei pada Ahad.
Datuk Ding berkata, program seperti ini adalah amat baik untuk mengeratkan hubungan dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain bersama pegawai yang baharu bagi semua Pegawai JPN Bahagian Sarikei meliputi dari Daerah Meradong, Julau dan Pakan.
Jelasnya, JPN merupakan sebuah agensi Jabatan Kerajaan yang sentiasa bergerak aktif dalam membantu menyelesaikan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri untuk semua lapisan masyarakat terutamanya kawasan pendalaman.
Justeru, beliau amat terima kasih kepada setiap Pegawai JPN Bahagian Sarikei kerana sentiasa memberi kerjasama dan saling membantu dalam permohonan taraf warganegara Malaysia serta berharap jalinan kerjasama antara satu sama lain akan diteruskan.
Dalam pada itu, Datuk Ding juga turut memberi sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Meradong kepada Kelab JPN Bahagian Sarikei berjumlah RM3,000.-EDISI UKAS