RABU, 30 MAC 2022
SERIAN: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM5.685 bilion melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) dalam usaha membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk golongan usahawan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh berkata, setakat ini sebanyak RM210 juta bantuan kewangan dalam BKSS 1.0 sehinggalah BKSS 8.0 telah diperuntukan bagi membantu para usahawan tempatan, penjaja dan peniaga kecil.
Ujar beliau lagi, lebih 1,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan pelancongan telah dibantu dengan nilai bantuan sebanyak RM1.29 juta di bawah BKSS 6.0.
“Bagi tahun 2022, setakat Mac, seramai 38,570 penjaja dan peniaga kecil di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dibantu dengan nilai bantuan sebanyak RM38.57 juta bagi meringankan bebanan golongan penjaja dan peniaga kecil.
“Sebanyak RM5 juta pula diperuntukan dalam Program Go Digital Sarawak 2022 bagi mensasarkan 500 usahawan untuk pembelian peralatan dan keperluan digital seperti laptop, kamera digital dan sebagainya,” katanya yang berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Program Jum Regista di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian (Baruk) pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bagi menyokong Dasar Ekonomi Digital, selain pelaksanaan Program Go Digital, MINTRED turut melaksanakan inisiatif Digital Marketing Sarawak.
“Sehingga Mac 2022, lebih 8,000 usahawan Sarawak telah dilatih melalui lebih 220 program di bawah Program Keusahawanan Digital,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, Datuk Dr Malcom Mussen telah menyampaikan Mock Cheque kepada penerima-penerima bantuan keusahawanan di Serian.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Residen Bahagian Serian Tuah Suni, Ketua Bahagian Pembangunan PKS Sayed Ismail Dato Sri Wan Hashim, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC, Nik Adam Abdillah Kipali serta 150 peserta yang hadir.-EDISI UKAS