RABU, 30 MAC 2022
TARAT: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) gigih menganjurkan program yang memfokuskan kepada pembangunan bakat bagi mencungkil bakat baharu para belia di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, aktiviti yang dianjurkan adalah bagi menarik minat belia untuk mengembangkan bakat sekaligus memberikan peluang kepada belia dalam menunjukkan bakat mereka.
Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Tarat menjelaskan, pihaknya akan cuba untuk membantu belia supaya mereka dapat meluangkan masa kepada aktiviti yang konstruktif.
“SABERKAS sebagai satu organisasi belia bertujuan untuk memberikan peluang kepada para belia menunjukkan bakat mereka.
“Ini termasuk yang mempunyai minat supaya dapat melakukan aktiviti yang konstruktif, bukan sahaja dalam bidang muzik, seni dan sukan, bahkan bidang pertanian moden,” katanya ketika menyempurnakan Pentas Akhir Pertandingan Tarian Tradisional anjuran SABERKAS Cawangan Tarat baru-baru ini.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menambah, segala program pembangunan bakat SABERKAS cawangan Tarat akan dimuat naik ke Youtube untuk tontonan seluruh dunia bagi menampilkan kepelbagaian dan keunikan negeri ini. -EDISI UKAS