Skim Pembesaran Kampung Perlu Diurus Lebih Sistematik

RABU, 29 MAC 2022

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menggesa pengurusan Skim Pembesaran Kampung (SPK) diurus dengan lebih sistematik terutamanya melibatkan pengagihan lot-lot tanah berkenaan.

Menurut beliau, SPK kini tidak lagi seperti dahulu kerana pihak kerajaan telah menyediakan infrastruktur asas.

Justeru, Datuk Rubiah Wang berharap pengagihan lot-lot tanah berkenaan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Saya turut berharap agar kemudahan tersebut tidak disalahgunakan termasuklah dijual semula kepada pihak yang lain demi mengaut keuntungan jangka masa pendek.

“Ini kerana, SPK kini tidak lagi seperti dahulu, pihak kerajaan telah menyediakan infrastruktur asas yang lengkap seperti bekalan elektrik, air dan jalan perhubungan yang disediakan dalam skim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri mesyuarat bersama Jabatan Tanah dan Survei di Kota Samarahan pada Selasa.

Dalam perkembangan yang lain, terdapat beberapa program SPK yang sudah berada peringkat pelaksanaan dan perancangan termasuk di Kampung Sambir, Kampung Sebandi dan Asajaya Ulu Lot di Asajaya.

Selain itu, ia juga telah dilaksanakan di kawasan Kota Samarahan iaitu Kampung Endap dan Kampung Tambay.

Hadir mengiringi kehadiran beliau ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Sr. Monaliza Ismail.-EDISI UKAS

add comment