11,500 Kotak SR22 Akan Diagihkan Kepada 10 Agensi Penerima Tahun Ini

KHAMIS, 31 MAC 2022

KUCHING: Majlis Simbolik Pembungkusan Sumbangsih Raya 2022 (SR22) anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak telah diadakan di Dewan Utama, Wisma Wanita pada Khamis.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya telah mengenal pasti 10 agensi penerima, terdiri daripada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang akan bertugas pada lebaran tahun ini.

“Antara agensi penerima adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya semasa berucap merasmikan majlis tersebut.

Ujar beliau, sebanyak 11,500 kotak sumbangsih akan diagihkan merangkumi lima (5) jenis barangan iaitu Serunding Daging, Nasi Impit, Kek Buah, Kacang Botak dan Muruku.

“Penghantaran, penerimaan dan pemeriksaan kualiti produk pembekalan ke Wisma Wanita telah bermula pada 25 Mac 2022 sehingga 29 Mac 2022 manakala pembungkusan diadakan hari ini hingga 1 April 2022,” tambahnya.

Sehubungan itu, tambah Dato Sri Fatimah, simbolik penyerahan kepada agensi penerima dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 8 April ini.

Manakala, ziarah penyerahan ke agensi-agensi penerima pula akan diadakan pada masa terdekat.

Dalam majlis itu, Dato Fatimah turut sama membantu dalam penyediaan sumbangsih bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti 1, Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti 2, Mohamad Razi Sitam.

SR22 merupakan program tahunan kerajaan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak semenjak tahun 1990 sebagai tanda penghargaan kepada semua pasukan keselamatan serta penguatkuasaan yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidil Fitiri. -EDISI UKAS

add comment