50 Penanam Lada Sertai Program Kursus Panduan Tanaman Lada DUN Kedup

KHAMIS, 31 MAC 2022

SERIAN: Seramai 50 penanam lada dari Kampung Sangai Mawang dan Kampung Sangai Empani mengikuti program Kursus Panduan Tanaman Lada.

Ia merupakan anjuran bersama Jabatan Pertanian Bahagian Serian dan Jabatan Pertanian Daerah Serian. 

Pegawai Menguasa Jabatan Pertanian Daerah Serian, Philip Kapia Manan memberitahu, program tersebut merupakan siri kedua yang dijalankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup selepas siri pertama di Kampung Antayan Liun pada 23 Mac lepas.

“Objektifnya adalah untuk membantu para peserta meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran penanaman lada,’’ katanya pada program tersebut di Kampung Sangai Mawang pada Rabu.

“Program telah dimulakan dengan sesi lawatan ke sebuah kebun lada di mana peserta melihat sendiri demonstrasi penanaman serta teknik catasan dan keratan yang betul,’’ jelas beliau lagi.

Ujarnya, pada sebelah petang pula, mereka mendengar ceramah berkaitan pengurusan nutrien, pengurusan penyakit dan juga perosak lada.

Pada pengakhiran program, Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Bahagian Serian, Satin Ahe menyampaikan sijil penyertaan serta bantuan input pertanian kepada peserta-peserta yang terlibat. -Edisi UKAS

add comment