ADUN Kabong Hadiri Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 SMK Kabong

KHAMIS, 31 MAC 2022

KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir meluangkan masa menghadiri Majlis Perasmian Graduasi Pelajar Tingkatan 5 SMK Kabong 2021 bertempat di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, Kabong pada Isnin.

Menurut Mohd Chee, Majlis itu diadakan khusus untuk merai dan memberi pengiktirafan kepada pelajar Tingkatan 5 atas pengorbanan dan komitmen mereka sepanjang lima tahun berada di sekolah tersebut.

Selain itu, majlis itu katanya juga disusun atur untuk dijadikan sebagai perangsang atau pencetus kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi pada masa akan datang.

Sebagai tanda sokongan, Mohd Chee menyatakan akan menyumbang sebuah komputer riba kepada setiap pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Sebelum ini, beliau telah menyumbang sebanyak 15 set komputer riba kepada 15 pelajar terbaik SMK Kabong.

Pada majlis sama, Mohd Chee turut mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk disalurkan kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kabong untuk aktiviti tahunan 2022.

Hadir sama Pengetua SMK Kabong, Iman Joni; Yang DiPertua PIBG SMK Kabong; Wakil HK Enterprise (Pengurusan Pantai Tanjung Kembang, Kabong), Kamaluddin Alkap; guru-guru kanan SMK Kabong serta para jemputan. – EDISI UKAS

add comment