KHAMIS, 31 MAC 2022
TEBEDU: Setiap pelawat asing yang dibenarkan masuk ke Sarawak wajib membeli insurans perjalanan mulai 1 April depan.
Residen Bahagian Serian, Tuah Suni memberitahu, insurans tersebut bertujuan membiayai kos pelawat sekiranya mereka perlu menjalani kuarantin di pusat-pusat berkaitan seperti hotel.
“Selain itu, pelawat juga wajib menjalani proses saringan COVID-19 kendiri dengan menggunakan ujian kendiri RTK yang akan dibekal serta disahkan oleh syarikat yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Setiap ujian yang dilakukan akan dibiayai oleh pelawat itu sendiri dengan kos sebanyak RM60,” katanya pada program Simulasi Kesiapsagaan Pembukaan Sempadan Tebedu/Kalimantan Entikong di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di sini pada Rabu.
Jelas beliau, kategori pelawat yang dibenarkan masuk ke Sarawak adalah mereka yang mempunyai pas lawatan kerja, ingin mendapat perkhidmatan kesihatan atau pendidikan, serta mereka yang ingin melawat ahli-ahli keluarga di negeri ini.
Menyentuh berkenaan program simulasi itu pula, Residen Bahagian Serian itu menjelaskan, ianya bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam mendepani cabaran pembukaan semula sempadan Tebedu/Kalimantan pada 1 April.
“Seramai 90 orang yang terdiri daripada penduduk kampung berhampiran serta kakitangan agensi di ICQS telah menyertai simulasi ini,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw, dan Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald David Jonas. -Edisi UKAS