KHAMIS, 31 MAC 2022
SERIAN: Kawasan sempadan di Kampung Mongkos perlu dikawal daripada dicerobohi demi keselamatan penduduk sekitar.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben berkata, pasukan keselamatan dan agensi berkaitan perlu terus memperketatkan kawalan keselamatan selepas pintu sempadan negara dibuka mulai 1 April ini.
Menurutnya, pasukan keselamatan dan agensi-agensi yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dengan masyarakat bagi memastikan keselamatan pintu sempadan tidak mudah dibolosi.
“Masyarakat yang tinggal di kawasan sempadan juga merupakan kumpulan yang penting menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan dengan melaporkan mengenai aktiviti atau perkara yang boleh memberikan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Intu Sempadan Kampung Mongkos Daerah Tebedu di Rumah Panjang Kampung Mongkos baru-baru ini.
Sementara itu Martin Ben memberitahu, sempadan antarabangsa yang begitu luas mendedahkan Sarawak kepada pelbagai risiko keselamatan dan isu-isu bekaitan dengan sempadan.
Sehubungan itu tegasnya, keselamatan kawasan sempadan dan kedaulatan negeri serta negara ini terus dijaga dan dikawal.
“Saya berharap program perkongsian maklumat seumpama ini kerap diadakan dan perlu diperluaskan di kawasan lain bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat berkaitan kesan yang terjadi jika pelanggaran undang-undang dilakukan,” ujarnya lagi.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak bersama Pejabat Residen Bahagian Serian dan Pejabat Daerah Tebedu itu dihadiri seramai 100 orang Ketua-Ketua Kaum dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 18 buah kampung di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Tebedu.
Pengisian program telah menyaksikan sesi taklimat berhubung peranan dan tanggungjawab masyarakat oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Hadir sama, Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak, Sukri Sanali; Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw; Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Serian mewakili Residen Bahagian Serian, Wee Chung Yee; Temenggong Bidayuh Bahagian Serian, Henry Bujang Sendan; Pemanca Kane Manong, Penghulu Phillip Aon dan Penghulu Fong Soon Fah. -EDISI UKAS