KHAMIS, 31 MAC 2022
BINTULU: Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak dengan kerjasama Gagasan Badan Ekonomi Melayu dan Persatuan Usahawan Kecil Bumipitera Bintulu telah menganjurkan Festival Keusahawanan Sarawak – Melaka 2022 di Paragon Bintulu selama tiga hari bermula Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran aktiviti perniagaan seperti ini sangat memberi manfaat kepada usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam memasarkan produk mereka.
“Saya berharap agar lebih banyak program sebegini akan diadakan pada masa akan datang bagi memberi peluang dan ruang kepada peniaga meningkatkan sosio ekonomi mereka bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semasa berucap merasmikan Festival Keusahawan Sarawak-Melaka 2022 di Paragon Bintulu pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berharap festival selama 3 hari itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan sedikit sebanyak mengurangkan beban usahawan dan PKS yang terjejas sebelum ini akibat pandemik COVID-19.
Penganjuran Festival Keusahawan Sarawak-Melaka 2022 ini juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif dan berharap agar program ini mencapai objektifnya.
Hadir sama Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak Mohamad Ariffin Abdullah dan Pengerusi Festival Keusahawanan Sarawak – Melaka 2022 Zulkipli Dahlan. -EDISI UKAS