MAFI Cadang Penglibatan Pihak Swasta Secara Agresif Dalam Industri Agromakanan Di Sarawak

KHAMIS, 31 MAC 2022

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bercadang untuk menarik penglibatan pihak swasta secara agresif dalam industri agromakanan negara di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, untuk menangani isu sekuriti makanan negara, pelbagai perbincangan telah dibuat untuk memastikan bahawa bekalan makanan negara lebih terjamin.

“Negeri Sarawak mempunyai peranan sama untuk memastikan bekalan makanan cukup bagi rakyat Malaysia yang keseluruhannya.

“Sarawak merupakan negeri yang kita tumpukan untuk membangunkan sektor agromakanan. Kita akan membelanjakan tahun ini lebih kurang RM150 juta melalui pelbagai jabatan agensi di Negeri Sarawak ini dalam semua sub-sektor penanaman, penternakan dan juga padi beras,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabat Premier Sarawak, Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Tambahnya, ini merupakan tumpuan yang akan diberikan oleh MAFI bertujuan memastikan kesan daripada pelbagai faktor yang memberi kesan tehadap industri makanan negara dapat ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, Dato Seri Ronald berharap agar kerjasama ini akan memastikan sektor agromakanan negara terjamin dan kesan daripada apa yang berlaku dari faktor tempatan atau luaran, konflik dan sebagainya dapat ditangani serta memastikan sekuriti makanan negara terus terjamin.-EDISI UKAS

add comment