KHAMIS, 31 MAC 2022
KUCHING: Permasalahan yang dihadapi penduduk di Kampung Quop Dayak turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Berikutan itu, satu lawatan dilakukan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak bersama Pejabat Ahli Parlimen Kota Samarahan ke kampung tersebut pada Khamis untuk mengambil maklum mengenai masalah perparitan dan saliran yang berlaku di kawasan itu agar dapat diatasi dengan segera.
Datuk Rubiah ketika dihubungi memaklumkan, sistem perparitan berkenaan akan dinaik taraf di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Kota Samarahan dan pihak kontraktor yang terlibat akan memulakan projek dalam masa yang terdekat.
Selain itu, padang bola sepak di kampung berkenaan juga akan dinaik taraf dengan pembinaan sebuah astaka (grand stand) di tepi padang berkenaan.
Turut serta dalam lawatan tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Latifah Beni dan Ketua Kaum Quop Dayak, Bonita Andrew. -EDISI UKAS