Penumpang Yang Datang Ke Miri Tidak Perlu Jalani RTK-AG Kecuali Penumpang Transit Dari Singapura

KHAMIS, 31 MAC 2022

MIRI: Bermula 2 April ini, semua penumpang yang datang ke Miri tidak perlu menjalani ujian RTK-AG kecuali penumpang yang transit di Singapura sebelum ke Miri. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini kerana mereka telah pun membuat ujian RTK-AG semasa persediaan pra-pelepasan. 

“Bagi penumpang yang tiba dari Singapura ke Miri, mereka tidak perlu menjalani ujian RTK-AG kerana persediaan pra-pelepasan telah pun dibuat antaranya menjalani ujian RTK-AG serta memuat turun aplikasi MySejahtera.

“Manakala, penumpang yang transit di Singapura dan meneruskan penerbangan ke Miri, mereka perlu menjalani ujian RTK-AG,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan Persediaan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri Bagi Kemasukan Penumpang dari Singapura pada 2 April nanti pada Rabu. 

Terdahulu, Dato Sri Lee telah mendengar taklimat daripada wakil Malaysia Airport Sdn Bhd. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memberitahu bagi penumpang yang bukan warganegara dan didapati positif mereka akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta manakala, bagi warganegara mereka boleh menjalani kuarantin di rumah. 

“Bagi bukan warganegara yang transit di Singapura didapati positif akan dihantar ke PKRC swasta yang dikendalikan penyediaan perkhidmatan perubatan swasta. 

“Manakala bagi warganegara yang transit di Singapura dan didapati positif apabila tiba di Miri, mereka akan menjalani kuarantin di rumah dan akan dinilai menerusi aplikasi MySejahtera,” ujarnya. 

Dato Sri Lee turut memaklumkan setiap warganegara asing yang tiba di Miri perlu mempunyai insurans perubatan berjumlah USD20,000 seperti yang telah digariskan Kerajaan Malaysia. 

Selepas itu, beliau telah menampal petunjuk arah bagi memastikan semua urusan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri berjalan lancar khususnya penumpang dari Singapura pada 2 April 2022 nanti.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu, wakil Residen Bahagian Miri Melissa Labut, Pengurus Malaysia Airport Sdn Bhd Miri Jauhari Abdullah, Ketua AVSEC Bulkornie Awang, wakil Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDRM) Majlis Bandaraya Miri (MBM), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Borneo Medical Centre (BMC) dan Gribbles Pathology.-EDISI UKAS

add comment