Projek Jalan Masuk Ke Kebun Kampung Ensika Siap Sepenuhnya

KHAMIS, 31 MAC 2022

SEBUYAU: Pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) secara langsung memberi manfaat kepada para petani di Kampung Ensika.

Terbaharu, projek jalan masuk ke kebun Kampung Ensika sepanjang 700 meter telah siap dilaksanakan dengan kos sebanyak RM126,576.

Projek berkenaan telah dilaksanakan bermula 9 November tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 9 Mac 2022.

Pegawai Tadbir Khas kepada Menteri Utiliti dan Telekekomuni Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Yusuf Buji telah menyaksikan majlis penyerahan projek jalan tersebut kepada Ketua Kaum Kampung Ensika, Tr. Sadon Ason.

Sementara itu, penduduk kampung merakamkan penghargaan di atas usaha kerajaan Sarawak menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi yang bekerja keras membawa pembangunan di kawasan berkenaan.

Pembinaan jalan tersebut juga secara langsung memudahkan perjalanan penduduk kampung untuk ke kebun mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut mewakili Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan, Raphael Churchill Raymond dan Pegawai Tadbir Sarawak, Sebuyau, Ajis Ahmad. -EDISI UKAS

add comment