Projek Jambatan Batang Igan Dijangka Siap Pada 2024

KHAMIS, 31 MAC 2022

MUKAH: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan dijangka siap pada tahun 2024.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo berkata, pihak kontraktor telah berjaya memperoleh kesemua komponen utama termasuk bahan binaan yang diperlukan untuk projek itu.

“Justeru, kami menjangka tiada masalah untuk mereka menyiapkan pembinaan jambatan sepanjang 1.43 kilometer ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Malah, setakat kini status pembinaannya adalah sekitar 24.77 peratus, di mana ia mendahului jadual sebanyak 0.74 peratus,’’ katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ir. Aidel berkata, Jambatan Batang Igan adalah merupakan sebahagian daripada jaringan jalan pesisir di zon tengah.

“Kesemua projek di bawah zon tengah akan menjadi pelengkap kepada jaringan jalan pesisir di Sarawak yang merangkumi dari kawasan Lundu-Sematan hingga ke Miri,’’ tambahnya. -Edisi UKAS

add comment