Terus Waspada, Patuhi Protokol Kesihatan dan Garis Panduan Ditetapkan – Premier Sarawak

KHAMIS, 31 MAC 2022

KUCHING: Sarawak akan memasuki fasa peralihan ke endemik serta membuka semula pintu sempadannya pada 1 April 2022.

Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menggesa rakyat Sarawak agar terus berwaspada serta mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan.

Menurut beliau, rakyat negeri ini juga perlu mengetahui garis panduan kesihatan serta perjalanan terkini yang akan berubah dari semasa ke semasa.

“Bilangan kes baharu serta tahap jangkitan COVID-19 telah menunjukkan trend penurunan pada Mac 2022.

“Perkara ini boleh dikaitkan dengan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Sarawak,’’ katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, sebanyak 89.19 peratus daripada bilangan populasi Sarawak yang layak telah mendapat dos penggalak vaksin COVID-19 setakat kini.

“Jadi, saya menyeru kepada semua yang masih belum berbuat demikian agar tampil untuk mendapatkan dos penggalak itu,’’ ujarnya.

Sementara itu, Premier Sarawak itu berpendapat, fasa peralihan ke endemik ini menunjukkan bahawa kehidupan sedang beransur pulih dan bergerak ke arah keadaan yang hampir normal seperti sebelum penularan wabak COVID-19.

“Ini akan memulihkan semula ekonomi negeri serta membolehkan kanak-kanak untuk hadir ke sekolah, untuk tempat kerja kembali beroperasi pada kapasiti optimum, untuk ahli-ahli keluarga bersatu semula dan untuk masyarakat kembali bergaul antara satu sama lain,’’ tambahnya lagi.

Justeru, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada rakyat Sarawak atas ketabahan, kesabaran serta sifat disiplin mereka dalam mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan juga inisiatif kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 sejak dua tahun lepas. -Edisi UKAS

add comment