JUMAAT, 1 APRIL 2022
MIRI: Seramai 39 penderma daripada 48 orang telah menderma darah dalam Program Derma Darah sempena Persaraan Ketua Zon 6 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Miri pada Rabu.
Ketua Zon 6 JBPM Miri Law Poh Kiong mengucapkan terima kasih kepada orang ramai khususnya anggota JBPM Zon 6 dan ahli-ahli Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) yang menjayakan program derma darah ini.
Katanya, JBPM akan sentiasa bekerjasama dengan media dalam apa jua keadaan sama ada berkaitan tugas dan program kemasyarakatan seperti derma darah ini.
“JBPM sentiasa mengekalkan hubungan mesra dan kerjasama yang baik dengan media, menggalakkan persahabatan bersama dan memberikan maklumat kebakaran yang tepat kepada masyarakat.
“Selain media, JBPM juga bekerjasama dengan Hospital Miri dan unit-unit lain untuk memerangi wabak COVID-19 tempoh pandemik,” katanya.
Sementara itu, Presiden NSJA Andy Jong Wan mengucapkan terima kasih kepada Law Poh Kiong di atas penganjuran bersama program derma darah ini sempena persaraannya pada 1 April ini setelah berkhidmat selama 38 tahun dalam JBPM.
“Kami amat berbangga dan berbesar hati kerana hari ini merupakan hari yang amat bermakna bagi kita serta penderma darah kerana berkesempatan mengadakan kempen derma darah untuk Law Poh Kiong dalam berpakaian uniform sempena persaraan wajid buat kali terakhir.
“Hubungan dan jalinan kerjasama serta kolaborasi di antara jabatan dan media penting untuk memudahkan kita menjalankan tugas di antara satu sama lain.
“Ini adalah penting untuk kita memastikan maklumat yang disampaikan kepada lapisan masyarakat adalah tepat dan sahih tanpa menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Program ini telah mendapat kerjasama daripada Tabung Darah Hospital Miri dan Hospital Miri, penaja dari Petronas Lambir Morsjaya Miri dan Shun Shen Lee Trading (Miri) Sdn Bhd.
Hadir sama Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu.-EDISI UKAS