Capai Matlamat Dan Objektif Utama MIPD Berdasarkan KPI Dalam PCDS

JUMAAT, 1 APRIL 2022

MIRI: Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) seperti yang ditetapkan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) harus dijadikan inspirasi untuk mencapai matlamat dan objektif utama. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kegagalan mencapai hasil utama itu akan menjejaskan sasaran dalam sektor lain dan membantutkan realisasi aspirasi Sarawak menjadi negeri maju tahun 2030.

Katanya, dengan bimbingan perunding langkah-langkah telah diambil untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan infrastruktur dalam PCDS kepada strategi khusus dan langkah-langkah tindakan yang boleh dilaksanakan dalam Pelan Strategik MIPD 2022 hingga 2026.

“Pelan strategik harus digunakan sebagai alat pengurusan untuk mengukur organisasi dengan visi kementerian. Prestasi harus dipantau dan dinilai dengan berkesan supaya MIPD sentiasa berada di landasan yang betul sebagai penggerak utama kepada pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini,” katanya.

Demikian menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi dalam merasmikan Program Pelan Strategik Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) di Miri Marriot Resort and Spa pada Rabu. 

Program ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 Mac sehingga 30 Mac yang bertujuan memberi gambaran tentang pelan perancangan strategi ke arah tahun 2030.

Datuk Amar Douglas turut menegaskan Kerajaan Sarawak menyasarkan menjelang 2030 Sarawak akan mempunyai infrastruktur berkualiti tinggi dan meningkatkan mobiliti orang, barangan dan perkhidmatan, menyediakan kecekapan melalui sambungan jalan raya 100 peratus, penggunaan teknologi bangunan baharu dan operasi pelabuhan bersepadu dan mencapai ekonomi hijau melalui pengurangan pelepasan daripada pelabuhan dan operasi bangunan.

Jelas beliau, ianya akan dapat dicapai dengan menggunakan tiga strategi teras di bawah PCDS iaitu mensinergikan kerjasama antara agensi untuk memudahkan dan memacu pertumbuhan ekonomi, menggerakkan kerjasama dan pembiayaan sektor swasta dan dasar sokongan dan rangka kerja kawal selia.

Turut sama hadir Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur & Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) Datu Haji Safri Bin Haji Zainudin, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri Serawa Budol dan Fasilitator Program Pelan Startegi MIPD Peter Jambai.-EDISI UKAS

add comment