JUMAAT, 1 APRIL 2022
KUCHING: Dua gol pada babak kedua memastikan pasukan Kuching City FC (KCFC) melangkah ke pusingan kedua saingan Piala FA selepas menundukkan UiTM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam Khamis.
Sentuhan kurang menjadi jentera serangan pada separuh masa pertama menghampakan hasrat kedua-dua pasukan untuk mencipta jaringan.
Kebuntuan itu akhirnya terlerai pada minit ke-55 setelah pemain gantian tuan rumah, Shafizi Iqmal Md Khirudin berjaya melepasi pertahanan UiTM FC sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Robson Rendy Rining untuk gol pertama.
Gol itu menyemarakkan semangat juang KCFC dengan terus mengasak kubu lawan untuk menambah jaringan.
Usaha gigih anak didik Irfan Bakti Abu Salim terbalas apabila tandukan pemain tengah KCFC, Mohamad Alif berjaya menerjah gawang UiTM buat kali kedua pada minit ke-62.
KCFC berpeluang menambah gol ketiga namun nasib tidak menyebelahi penyerang importnya, Abu Kamara yang terlepas percubaan pada minit ke-89.
Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan.
Meskipun menang, Ketua Jurulatih Irfan Bakti masih belum berpuas hati terutama dengan ketumpulan jentera serangan pemain import.
“Ya masih tumpul lagi, (Abu) Kamara masih belum dapat menyesuaikan keadaan.
“Kita berharap beliau sebagai pemain import akan lebih berkesan lagi walaupun dia bekerja keras pada malam ini,” katanya ketika ditemuramah media.
Irfan bagaimanapun tetap gembira dengan kejayaan itu dan percaya pasukannya boleh menang dengan gol yang lebih besar jika pemain lebih tenang dan bijak memanfaatkan setiap peluang.
KCFC akan meneruskan kempen Liga Premier 2022 menentang Kelantan FA di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 11 April ini. – EDISI UKAS