JUMAAT, 1 APRIL 2022
PADAWAN: Persatuan Usahawan Bidayuh Penrissen (PUBP) bakal menerbitkan majalah edisi pertama mereka yang berjudul ‘Puncak Borneo Destination’.
Menurut Presiden PUBP, Jores Sedek, beliau berharap majalah tersebut dapat diterbitkan pada pertengahan tahun ini.
Jelasnya, majalah berkenaan bukan sahaja dipromosikan secara domestik sahaja, namun akan dipromosikan secara global.
“Kita merancang untuk mengeluarkan banyak lagi edisi lain, tapi untuk edisi yang pertama tumpuan lebih kepada destinasi pelancongan yang terdapat di kawasan Padawan,” katanya dalam satu mesyuarat penyelarasan penerbitan majalah itu pada Khamis.
Tambahnya, Prof Madya Dr Qistina Donna Lee telah dilantik untuk mengetuai dalam penerbitan majalah berkenaan.
Katanya, penaung bagi penerbitan Puncak Borneo Destination’ itu pula adalah Timbalan Menteri Pengangkutan I Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil. -EDISI UKAS