SME Corp Malaysia Sediakan Bantuan Sehingga RM500,000 Di Bawah Bantuan BEEP Bantu Usahawan Di Sarawak

JUMAAT, 1 APRIL 2022

MIRI: Peserta Bakepreneur Champion dan usahawan di Sarawak diseru memanfaatkan bantuan kerajaan melalui SME Corporation Malaysia, demikian menurut Pengarah Negeri SME Corporation Negeri Sarawak Faiz Ramzi Sutarji semasa melawat peserta-peserta yang sedang mengikuti program Bakepreneur 2022 yang dikendalikan IANA Corporation Sdn Bhd di Miri pada Selasa.

Katanya, Bakepreneur Champion dan usahawan boleh mendapatkan bantuan Bumiputera Enterprise Enhancement Program (BEEP) sehingga RM500,000 untuk memajukan perniagaan mereka.

BEEP membolehkan peniaga dan usahawan mendapatkan geran bagi pembelian mesin bagi peningkatan produktiviti, pembungkusan, penggunaan sistem digital dalam perniagaan, renovasi bagi tujuan pensijilan dan juga promosi serta pengiklanan.

Mengenai Bakepreneur Champion, ini adalah program yang dibiayai bersama SME Corporation Malaysia yang memperkasa usahawan baru daripada kalangan B40 termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan belia. 

Pada tahun ini, sebanyak 80 tempat telah ditawarkan kepada usahawan baru yang dikendalikan IANA iaitu pengeluar kek lapis Sarawak atas jenama Siti Payung. -EDISI UKAS

add comment