Stesen Mini Hidro Kota 2 Sediakan Tenaga Elektrik Boleh Diperbaharui Kepada Warga Lawas

JUMAAT, 1 APRIL 2022

LAWAS: Projek Stesen Mini Janakuasa Hidroelektrik (HEP) Kota 2 berkapasiti 10.5 MegaWatt (MW) mampu menampung keperluan terkini tenaga elektrik serta jangkaan pertumbuhan pada masa depan di daerah Lawas.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi memberitahu, ini adalah sehingga daerah tersebut dihubungkan kepada grid utama negeri melalui projek penyambungan grid utara.

“Saya difahamkan, daerah Lawas mempunyai beban puncak (peak load) sebanyak 12.6MW, dan keperluan elektrik ini meningkat sebanyak 5 peratus setiap tahun berikutan pembangunan yang berlaku di kawasan sekitar.’’

“Semenjak Kota 2 mula beroperasi pada tahun 2020, hampir 40 peratus daripada penjanaan bekalan elektrik ke grid tempatan itu adalah dari tenaga hidro, sekaligus menyokong kestabilan grid serta mengurangkan kebergantungan kepada janaan kuasa melalui diesel di daerah ini,’’ katanya setelah mengadakan lawatan ke stesen tersebut.

Ujar beliau, daerah Lawas setakat ini masih mendapatkan bekalan elektrik melalui grid tempatan dengan jajaran edaran 33kiloVolt (kV) serta 11kV.

“Sebelum adanya HEP Kota 2 ini, keperluan elektrik dibekalkan oleh sebuah stesen janakuasa diesel dengan kapasiti penjanaan sebanyak 11MV dan juga dua stesen mini hidroelektrik dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak 5MV,’’ tambah beliau lagi.

Timbalan Menteri itu menjelaskan, matlamat utama adalah untuk menggantikan kebergantungan terhadap diesel sebelum bahagian Limbang termasuk daerah Lawas dihubungkan kepada grid utama bagi menjamin kebolehpercayaan serta kestabilan bekalan.

“Projek penyambungan grid utara yang dijangka siap pada tahun 2024 akan menyediakan sistem bekalan elektrik yang moden kepada penduduk Limbang dan Lawas, seterusnya merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini,’’ ujarnya lagi. -Edisi UKAS

add comment