Program Bantuan Pembiayaan Mikro Bank Rakyat Perkasa Penjaja, Usahawan Belia Di Sarawak

SABTU, 2 APRIL 2022

KUCHING: Dalam usaha membangun dan memperkasakan penjaja dan usahawan belia di Sarawak, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat telah memperkenalkan Bantuan Pinjaman Pembiayaan Mikro.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana tersebut boleh digunakan untuk usahawan belia mempamerkan perniagaan mereka selain mengembangkan lagi kemahiran keusahawanan mereka.

“Sebab itulah satu daripada saluran adik-adik semua untuk menjadi usahawan, tidak semestinya memerlukan sijil, ijazah dan sebagainya, ramai juga yang berjaya di dalam dunia ini mereka hanya mempunyai sijil-sijil tertentu, tapi yang lebih penting adalah semangat mahu berjaya dan dispilin untuk memajukan diri kita,”

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Youth Entrepreneur Setup And Financing di Dewan Suarah Kuching pada Sabtu.

Dalam sidang media pula, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan dana khas tersebut bukan bertujuan bagi belia untuk memulakan perniagaan mereka, tetapi untuk memudahkan urusan mereka dengan menyediakan platform menjalankan jualan dan mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka.

“Dalam dana kita itu, kementerian masih ada RM7 Juta lagi dan dana ini khas untuk belia terutama dalam bidang-bidang yang lain sedikit dari keusahawanan, kerana sebelum ini keusahawanan sudah ada kementerian tertentu.

“Jadi ia ditubuhkan khas bagi mereka yang mempunyai kepakaran-kepakaran ataupun minat yang lain untuk meningkatkan belia-belia tersebut dalam pelbagai bidang seperti kesenian, kebudayaan, inovasi dan sebagainya dan akhirnya mereka boleh menjadi usahawan yang berjaya,” ujarnya.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Dr Ripin Lamat, pihak Bank Rakyat Cawangan Kuching dan para usahawan belia. -EDISI UKAS

add comment