BBP Kidurong Kini Mula Beroperasi Bermula 1 April 2022

AHAD, 3 APRIL 2022

BINTULU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong merupakan balai Bomba Kategori D ke-9 yang beroperasi selepas BBP Asajaya, Tanjung Manis, Daro, Selangau, Sibu Jaya, Belaga, Tatau dan Batu Niah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman@Hussaini berkata, BBP Kidurong ini adalah balai Bomba ke-37 bagi Sarawak dan mula beroperasi pada Jumaat.

“Balai Bomba kategori D ini beroperasi dengan kekuatan seramai 28 orang anggota yang terdiri daripada pelbagai pangkat dan diketuai oleh Ketua Balai Gred KB26.

“BBP ini dilengkapi dengan kekuatan aset iaitu sebuah jentera pemadaman, sebuah jentera utiliti dan sebuah bot menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, perolehan BBP Kidurong ini sangat unik kerana buat julung kalinya JBPM keluar dari lingkungan kebiasaan skop perolehan bangunan Balai Bomba iaitu melalui tapak dan bangunan komersil bernilai RM1.27 juta.

Katanya, ia merupakan BBP kategori D yang paling ekonomi berbanding pembinaan bangunan balai bomba kategori D yang kebiasaannya menelan kos perolehan sebanyak RM7 juta secara puratanya.

“Selain BBP Kidurong yang mana pembinaannya melalui perolehan bangunan komersial sedia ada, JBPM Negeri Sarawak juga pernah membuat perolehan bangunan Balai Bomba dengan mengambil alih bangunan kerajaan sedia ada iaitu BBP Tatau pada tahun 2015 dengan kos sebanyak RM3 juta.

“Bangunan asal BBP Tatau merupakan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lama,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

add comment