Masjid Tertua Sarawak, Masjid Al-Qadim Sibu Kembali Dibuka

AHAD, 3 APRIL 2022

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr. Annuar Rapaee memberi jaminan, masyarakat Sibu akan berpeluang berterawih di Masjid Al-Qadim Sibu yang merupakan masjid tertua di Sarawak pada Ramadhan kali ini.

Bagaimanaun, beliau mencadangkan untuk memulakan solat terawih di masjid tersebut pada 10 malam terakhir puasa kerana menjangkakan orang ramai akan mula berkurangan untuk berterawih.

Selain itu katanya, ia juga bagi mengajak umat Islam di Sibu mengimarahkan masjid dalam 10 malam terakhir Ramadhan.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke masjid itu untuk melihat perkembangan terbaru proses penyiapan hiasan dalaman masjid tersebut pada Sabtu.

Menurutnya, lebih lima tahun masjid ini tidak digunakan untuk berterawih selepas ianya dalam proses pemuliharaan.

Jelasnya lagi, walaupun ianya tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat kerana sudah ada Masjid An-Nur yang baru namun solat terawih masih dilaksanakan di masjid tersebut seperti sebelum ini.

Untuk rekod, Masjid Al-Qadim telah dibina pada tahun 1861 dan berusia lebih 160 tahun.

Ia mampu menampung sekurang-kurangnya 500 orang jemaah merangkumi dalam dan bahagian luar.

Katanya, Masjid Al-Qadim akan menjadi khazanah Negeri Sarawak dan ianya tidak boleh dirobohkan.

Dalam pada itu, Dr. Annuar menjangkakan akan lebih ramai umat Islam di Sibu yang ingin berterawih di masjid itu dan beliau akan berbincang dengan Jawatankuasa Masjid dalam mesyuarat untuk melaksanakan tatacara yang terbaik bagi mengadakan terawih di situ nanti.-EDISI UKAS

add comment