Kerajaan Negeri Sasar Warga Tani Mampu Jana Pendapatan RM6,000 Menjelang 2030

ISNIN, 4 APRIL 2022

SERIAN: Kerajaan negeri menyasarkan warga tani di negeri ini mampu menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan menjelang tahun 2030 menerusi pertanian moden.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben berkata, penggunaan teknologi pertanian moden dalam kalangan warga tani secara langsung meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil mereka.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menggalakkan warga tani khususnya di kawasan berkenaan untuk mengusahakan pembangunan tanah bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Oleh itu, penduduk harus memikirkan bagaimana membangunkan tanah masing-masing secara berkelompok untuk diusahakan secara bersama, disewa atau diusahakan secara komersial kepada pihak yang berminat bagi meningkatkan hasil keluaran dan pendapatan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Santai bersama masyarakat di Kampung Antayan pada Ahad.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Kedup kerana memberi sokongan kepadanya semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 lepas.

Sehubungan itu beliau memberi komitmen untuk terus membawa pelbagai pembangunan seperti kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan kemudahan internet untuk manfaat penduduk kawasan Kedup.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Kaum Kampung Antayan Sarawak, TR Kapi, Ketua Kaum Kampung Antayan Keropok, Tr Silen,  Ketua Kaum Kampung Antayan Baru, TR Marbai,  Ketua Kaum Kampung Antayan Liun, TR Kabit dan  Ketua Kaum Kampung Antayan Kersik, TR Nangai. – EDISI UKAS

add comment