ISNIN, 4 APRIL 2022
KUCHING: Dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak mengadakan sebuah bengkel bagi mengkaji semula inisiatif-inisiatif utama di bawah seliaannya serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan juga Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelbagai input telah diberikan semasa bengkel tersebut bagi menambahbaik polisi dan prosedur semasa agar pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu dapat dipermudahkan dan dijadikan lebih sistematik.
“Sebanyak 22 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat secara aktif dalam perbincangan bengkel yang diadakan pada 17 hingga 18 Mac lepas,’’ jelasnya dalam satu sidang akhbar di Bangunan Baitulmakmur 2 pada Isnin.
Ujar beliau, hasil bengkel tersebut adalah bagi mengatasi cabaran semasa oleh agensi pelaksana dan rakan strategik semasa melaksanakan tugas di lapangan.
“Terdapat sepuluh inisiatif yang telah dinilai semula dan ditambahbaik iaitu inisiatif Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Pembiayaan Caruman Minimum i-Suri, Endowment Fund Sarawak (EFS), Geran Tahunan khas (GTK) – Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK), Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ikhsan Kematian (BIK), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP), Bantuan Perubatan, Geran Sukan OKU, dan Geran Pemerkasaan NGO,” tambahnya.
Dato Sri Fatimah memberitahu, semua inisiatif tersebut telah dilaksanakan semenjak pada tahun 2018 hingga 2021.
Sementara itu, beliau menegaskan, inisiatif bersifat mesra rakyat itu adalah hasil kegigihan Kerajaan Sarawak untuk bantu meringankan beban masyarakat di negeri ini.
Menjawab soalan mengenai status inisiatif-inisiatif yang melepasi tempoh pelaksanaan selepas 5 tahun pula, Menteri itu berkata, keputusan pembaharuan terletak pada kerajaan negeri sendiri.
“Kerajaan Sarawak akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan inisiatif berkaitan atau tidak selepas mendapat laporan daripada pihak Kementerian,’’ ujarnya. -Edisi UKAS