ISNIN, 4 APRIL 2022
KUCHING: Sektor pendidikan dan pertanian akan terus dibangunkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada memberitahu, ini adalah kerana kedua-dua sektor tersebut telah terbukti memberi kemajuan kepada status sosioekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
“Sehubungan itu, saya akan meneruskan usaha untuk menambahbaik pencapaian itu agar penduduk luar bandar akan sama-sama menjadi masyarakat petani berjaya serta berpendidikan menjelang tahun 2030,’’ katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Dan Kesyukuran DUN N.21 Tebedu di Hotel Imperial pada Sabtu.
Jelasnya, tanggal 18 Disember 2021 merupakan hari yang bersejarah buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja kerana parti tersebut bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, malahan ia juga berjaya meraih rekod kemenangan sebanyak 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam pada itu, Dr. Simon merakamkan setinggi penghargaan kepada setiap jentera parti atas kegigihan dan sokongan mereka dalam memperoleh kejayaan tersebut.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan ADUN Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong atas jasa dan sumbangannya kepada Daerah Tebedu.
“Perkhidmatan beliau selama 25 tahun dalam membantu usaha membangun serta memakmurkan kawasan DUN Tebedu khasnya, dan Daerah Tebedu amnya tetap menjadi kebanggaan dan harus dicontohi oleh semua lapisan pemimpin,’’ kata Dr. Simon lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Kedup, Maclaine Ben @ Martin Ben serta ADUN Bukit Semuja, John Ilus. -Edisi UKAS