Penyelidikan Lanjut Berkaitan Klirieng Perlu Dilakukan Untuk Pastikan Ianya Dimiliki Masyarakat Punan Atau Beketan

SELASA, 5 APRIL 2022

TATAU: Satu penyelidikan lanjut berkaitan Klirieng perlu dilaksanakan selepas ianya dijumpai di Sungai Penyarai pada Oktober tahun lepas. 

Klirieng ini dikenali sebagai Klirieng Mesken yang mempunyai panjang 22 kaki dan lebar 10 inci lebar dan 22 inci diameter, dan terdapat satu lagi klirieng yang dijumpai kira-kira 10 meter dari klirieng pertama dan mempunyai 18 kaki panjang dan 10 inci lebar masih berada di sungai tersebut. 

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, penyelidikan ini penting untuk mengetahui sama ada ia adalah dimiliki oleh masyarakat Punan ataupun Beketan.

“Jika Klirieng ini dibiarkan di dalam sungai, warisan kita ini akan hilang begitu sahaja. 

“Usaha memindahkan dan menjaga Klirieng ini harus kita lakukan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Bersama Komuniti (Pemuliharaan Warisan) di Dewan Masyarakat Punan, Rh Ado, Kakus, Tatau pada Ahad.  

Datuk John Sikie Tayai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus mengesyorkan satu jawatankuasa diwujudkan yang diketuai oleh Penghulu Sanok dan mengadakan sesi dialog bersama masyarakat setempat dengan Jabatan Muzium, Majlis Adat Istiadat dan Jabatan Hutan tentang cara memulihara dan menjaga terutamanya kliering yang telah ditemui di Sungai Maskin, Penyarai. 

Upacara pemindahan Klirieng ini dari dalam sungai perlu mengikut adat istiadat dan upacara seperti yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu nanti.

Terdapat 9 lagi Klirieng yang terletak di kawasan Daerah Tatau.

Hadir sama Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan, pegawai Kementerian Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern dan Jabatan Muzium Sarawak Nicholas Daby Henry Atie. -EDISI UKAS

add comment