Projek Bina Baharu Jalan Penghubung Lorong Astana 11 Ke Jalan Merdeka Siap Sepenuhnya

SELASA, 5 APRIL 2022

KUCHING: Projek Bina Baharu Lorong Astana 11 ke Jalan Merdeka yang mulai dilaksanakan sejak 1 Januari 2021 telah siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, projek sepanjang satu kilometer bernilai RM1,491,145 tersebut adalah di bawah Projek Khas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Bersama Rakyat.

“Projek ini adalah permintaan daripada penduduk setempat dan kini telah siap sepenuhnya bagi memudahkan perjalanan dari jalan sebelum ini.

“Pelaksanaan untuk projek agak mengambil masa susulan proses secara berperingkat perlu diambil oleh pihak DBKU iaitu proses pengambilan tanah, pembayaran pampasan kepada pemilik tanah dan seterusnya peruntukan untuk pembinaan jalan,” katanya ketika ditemui media pada perasmian pembukaan projek berkenaan pada Selasa.

Turut hadir ialah Pengarah DBKU, Mohammed Khaidir Abang; Penghulu Tupong, Ramden Salleh dan ketua masyarakat sekitar Kampung Tupong dan Kampung Pedidi. -EDISI UKAS

add comment