Bazar Ramadan Stutong Terus Jadi Tarikan, SOP Terus Ditekankan

RABU, 6 APRIL 2022

KUCHING: Bazar Ramadan Stutong terus menjadi tarikan kepada semua lapisan masyarakat untuk berkunjung dan membeli pelbagai juadah makanan dan minuman yang disediakan.

Menerusi tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada hari ketiga berpuasa, suasana kelihatan meriah dengan orang ramai yang teruja untuk membeli juadah makanan mereka.

Meskipun suasana meriah, pengunjung masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mengimbas kod QR MySejahtera termasuk memakai pelitup mulut dan hidung.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Pesekitaran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Awg Qaswardy Awg Razali memberitahu, anggota keselamatan turut ditugaskan bagi memastikan setiap pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihak Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) juga telah datang bagi memeriksa pematuhan SOP di situ.-EDISI UKAS

add comment