Pupuk Minat Pelajar Dalam Bidang Sains Khususnya Pelajar Prasekolah

RABU, 6 APRIL 2022

KUCHING: Pembelajaran ilmu Sains perlu dipupuk sejak dari awal lagi khususnya dari peringkat Prasekolah.

Ini bagi merangsang minda kanak-kanak supaya lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing secara sihat. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendedahan terhadap kanak-kanak untuk meneroka ilmu Sains melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dapat memupuk minat mereka dalam bidang Sains.

“Jadi, itu adalah satu usaha kami pada masa tersebut untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak dan juga untuk meningkatkan kesedaran dan minat mereka dalam bidang ataupun pembelajaran matematik dan sains,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa menerima kunjungan hormat Petronas Petrosains Untuk Program Libat Urus di Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Baitul Makmur 2 pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Commercial & Experience, Petrosains, KL Kamaruddin Kassim berkata, usaha untuk mempelbagaikan program dan aktiviti di Petrosains PlaySmart di Dewan Suarah Kuching mampu menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat mahupun peringkat umur.

“Sebab kita yakin, dalam masa terdekat Pertosains PlaySmart akan dibuka untuk semua pengunjung, tetapi tujuan penting untuk kami berjumpa dengan Dato Sri (Fatimah Abdullah) adalah untuk mengadakan beberapa program strategik bersama-sama menaikkan minat anak-anak kita di Sarawak ini dalam bidang Sains semasa mereka membuat lawatan dan terlibat dengan program-program tambahan di Petrosains PlaySmart,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu warga pendidik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ibu bapa, perlu ada penglibatan di dalam program yang bakal diadakan kelak setelah dua tahun Petrosains PlaySmart tidak beroperasi serta ditutup berikutan pendemik COVID-19.- EDISI UKAS

add comment