CUEPACS Sarawak Sambut Baik Pengumuman Bantuan Khas RM500 Oleh Kerajaan Sarawak

KHAMIS, 7 APRIL 2022

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Sarawak merakamkan penghargaan atas pengumuman Kerajaan Sarawak untuk memberikan bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri bersempena dengan sambutan Aidilfitri dan Gawai Dayak 2022.

Pengerusinya, Omar Bahrein Unin memberitahu, bantuan yang diumumkan oleh Pejabat Premier Sarawak pada 6 April lepas memang dinantikan penjawat awam negeri setelah kerajaan pusat terdahulunya mengumumkan bantuan khas yang sama untuk penjawat awam persekutuan.

“Dengan pemberian bantuan kewangan khas yang diumumkan oleh kerajaan negeri ini, maka ia telah memberi kebersamaan kepada semua penjawat awam persekutuan dan negeri di Sarawak,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, bantuan kewangan seumpama ini memang diharapkan oleh penjawat awam menjelang musim perayaan kerana perbelanjaan bagi persiapan menyambut perayaan seringkali melebihi perbelanjaan bulanan biasa.

“Bantuan ini disambut baik dan amat bermakna dalam membantu meringankan perbelanjaan mereka serta menghadapi beban kewangan terutamanya bagi penjawat awam yang dikategorikan sebagai B40 serta M40,’’ ujar beliau.

“CUEPACS Sarawak percaya kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam negeri dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya sejak dua tahun lepas apabila negara menghadapi penularan wabak COVID-19,’’ tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Pengerusi CUEPACS Sarawak itu menyeru semua penjawat awam supaya terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang serta meningkatkan produktivi dan juga kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Mereka juga disaran agar lebih bijak berbelanja dan membeli barangan yang diperlukan sahaja,’’ kata Omar. -Edisi UKAS

add comment