Kelonggaran Bukan Tiket Rakyat Bertindak Bebas, Utamakan Kesihatan & Patuhi SOP – Premier Sarawak

JUMAAT, 8 APRIL 2022

KUCHING: Kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan bukan tiket untuk rakyat untuk bertindak bebas dan mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Justeru Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengingatkan rakyat untuk terus mengutamakan kesihatan dan menjaga SOP sedia ada kerana wabak COVID-19 masih berada dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

“Pada tahun ini, kita memasuki fasa endemik maka sudah tentu masyarakat kita boleh bergerak sedikit seperti yang saya lihat pada waktu petang banyak orang yang mengunjungi bazar ramadan.

“Tetapi dalam kita mempunyai kelonggaran ini, saya ingin menasihatkan supaya kita terus menjaga kesihatan kita dan SOP kita,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ringkasnya dalam majlis simbolik penyerahan Sumbangsih Raya 2022 di Wisma Bapa Malaysia disini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mengingatkan orang awam untuk terus peka terutama sekali semasa menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.-EDISI UKAS

add comment