Dato Ibrahim Agih Sumbangan Sempena Program Ihsan Ramadhan N8 Satok

SABTU, 9 APRIL 2022

KUCHING: Seramai 45 individu dari kawasan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Masjid, Bintangor dan Bandarsah di sini menerima sumbangan sempena Program Ihsan Ramadhan N8 Satok 2022.

Program ringkas diadakan di Surau Bandarsah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki pada Sabtu.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato Ibrahim berkata program seumpama itu sentiasa dilaksanakan di kawasan N8 Satok sejak dari tahun 1988.

Katanya, program itu dilaksanakan untuk berkongsi kemeriahan Ramadhan selain serba sedikit menampung perbelanjaan penerima menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

Dalam ucapan sama, Dato Ibrahim yang juga Ketua Whip Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut berterima kasih kepada pengundi di ketiga-tiga ranting itu yang telah memberi mandat yang besar kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lalu.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdul Samad Gany dan Naib Ketua Cawangan N8 Satok, Helmi Othman. – EDISI UKAS

add comment