Kota Samarahan Berpotensi Menjadi Metropolis Kesihatan

ISNIN, 11 APRIL 2022

KOTA SAMARAHAN: Kota Samarahan berpotensi menjadi sebuah metropolis kesihatan terpenting di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, bahagian tersebut merupakan lokasi strategik di mana ia mempunyai pelbagai jenis kemudahan berlainan yang bukan sahaja mampu menaikkan taraf perkhidmatan penjagaan kesihatan malahan juga memperkasakan taraf kehidupan penduduk di sekitar.

“Kota Samarahan merupakan satu-satunya lokasi di mana kita mempunyai institusi pengajian tinggi untuk melahirkan individu berilmu, pusat kesihatan seperti klinik dan pusat jantung untuk merawat pesakit, dan juga sebuah pusat penyelidikan penyakit berjangkit yang bakal didirikan pada masa depan.

“Sebagai melengkapkan kesemua kemudahan tersebut, bahagian ini turut berdekatan dengan kawasan Samajaya yang dapat memenuhi sebarang keperluan pembuatan,’’ katanya pada Majlis Perasmian ‘Sustainable Development Goals – Healthy City’ Majlis Perbadaran Kota Samarahan Tahun 2022 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Isnin.

Dato Sri Prof. Dr. Sim menambah, satu permohonan juga akan diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendirikan sebuah hospital rawatan kanser di sini.  

Jelasnya, semua kemudahan berkaitan kesihatan akan tertumpu di sekitar Pusat Jantung Kota Samarahan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak menyeru warga Kota Samarahan agar mengamalkan budaya menjaga kebersihan persekitaran dalam usaha melahirkan sebuah bandar yang bersih serta terjaga.

“Ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan tujuan mewujudkan bandar yang sihat dan selamat,’’ katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr. Penguang Manggil, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis, serta Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato’ Peter Minos. -Edisi UKAS

add comment