Maritim Bintulu Tahan Bot Nelayan Asing Selepas 10 Jam Aksi Kejar Mengejar

ISNIN, 11 APRIL 2022

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah berjaya menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menjalankan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 90 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu pada Sabtu, sekitar jam 8.00 pagi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, semasa rondaan rutin, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat sekitar jam 9:00 malam Khamis lepas.

“Tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hot-spot’ di perairan Sarawak.

“Berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot nelayan asing tersebut bertindak melarikan diri dari diperiksa oleh penguat kuasa,”katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar memberitahu, berikutan itu, KM Setia mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas, sebelum berjaya menahan bot terbabit.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati 6 kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berumur dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan.

“4 kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Menyedari kesalahan yang telah dilakukan, tekong telah menawarkan suapan kepada pihak berkuasa sejumlah wang RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau lagi, bot dipercayai baru berada di lokasi berdasarkan muatan yang disyaki gamat berjumlah lebih kurang 3 kilogram beserta 2,000 kilogram garam yang akan digunakan sebagai bahan pengawet bagi menjaga ketahanan gamat tersebut sebelum dibawa pulang ke Vietnam.

“Peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500,000.

“Kesemua kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” kata beliau.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara dan jika disabitkan bersalah, tekong boleh dihukum denda tidak melebihi RM6 juta dan RM600,000 bagi taip-tiap anggota kru terbabit.

Kes turut disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.-EDISI UKAS

add comment