PDRM Bintulu Pergiat Operasi Bersepadu

ISNIN, 11 APRIL 2022

BINTULU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bintulu telah membuat Op Bersepadu di sekitar kawasan Bandar Bintulu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, Op Bersepadu tersebut, melibatkan kekuatan keseluruhan 5 orang pegawai dan 40 anggota Polis dengan kolaborasi bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Sukarelawan Simpanan PDRM (SSPDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ujar beliau, untuk mencegah kenaikan kes jangkitan COVID-19, beberapa pemantauan terhadap premis-premis perniagaan telah diperiksa.

“Peringatan, tindakan amaran dan nasihat telah diberikan kepada pemilik dan pengunjung premis-premis perniagaan.

“Ini adalah supaya masyarakat menyedari kepentingan dalam penjagaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kendiri kerana kita masih berhadapan dengan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, ujar beliau, dalam tindakan pencegahan jenayah, sekatan jalan raya/snap check telah dibuat dikawasan-kawasan hotspot dan tindakan memeriksa dan mengesan orang/kenderaan-kenderaan yang mencurigakan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, satu tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki tempatan di Kampung Assyakirin atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.-EDISI UKAS

add comment